Thursday 1 October 2015

                              PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

Proses perbincangan dan perundingan kearah pembentukan Malaysia ini sebenarnya sangat panjang dan kompleks. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukanini memuaskan hati semua pihak.


 JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)

Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.

Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.

Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia. Keterangan-keterangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan pembentukanMalaysia ini. Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak  pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.

Dalam perjumpaan-perjumpaan jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting. Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik.


 SURUHANJAYA COBBOLD

Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kerajaan United Kingdom dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan Sarawak (bersama-sama dengan lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu, banyak faedah diperoleh rakyat Negara-negara yang berkenaan. Matlamat penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat fikiran rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan hal ini dan membuat  syor-syor setelah menimbangkan fikiran itu.

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya selama dua bulan bermula pada 19 Februari 1962 dan berakhir pada bulan April 1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat, iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah menemui lebih daripada 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini juga mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum daripada orang ramai untuk menyuarakan pandangan mereka. Semasa menjalankan tugasnya, suruhanjaya telah menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600 pucuk surat dari Sabah dan selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang dikemukakan sama ada oleh lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis Daerah, parti-parti politik, persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan, pemimpin-pemimpin agama mahupun orang perseorangan. Daripada keseluruhan kerja atau tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat tinjauan serta penyiasatan secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar penduduk di kedua-dua wilayah tersebut.

Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

a.            1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan  tanpa syarat
b.            1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.
c.            1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.


 JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN

Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.

Jawatankuasa ini telah membentuk satu perlembagaan khususnya yang melibatkan permintaan Sabah dan Sarawak berdasarkan memorandum yang diterima daripada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak.

Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah :

a.            Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.
b.            Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan ke dalam Persekutuan.
c.            Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah dan Sarawak bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara tersebut.
d.            Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.
e.            Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah kerusi.


 REFERENDUM SINGAPURA

Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil Referendum Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tertentu.

Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan pendirian mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu :
a.            Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).
b.            Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).
c.            Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperoleh wilayah-wilayahBorneo dengan penyertaan ini (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).

Referendum Singapura ini telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan Sosialis dan pihak komunis yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu telah memulau pungutan suara dengan membuang undi kosong. Namun selepas referendum selesai, laporan menunjukkan 71% pengundi menyokong pembentukan Malaysia.

Penganalisis sejarah mendakwa sokongan Singapura ini adalah ekoran kejayaan kerajaan PAP meyakinkan rakyat berhubung tiada kemungkinan taraf kerakyatan mereka akan dilucutkan dengan penggabungan, perdagangan antarabangsa Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung dan ancaman komunis akan dapat dibendung dengan jayanya dengan pembentukan ini. Secara keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan rakyat Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan memilih syarat A, iaitu pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura sendiri.[3]

No comments:

Post a Comment