FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA
MENGELAKKAN ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS
Pengaruh komunis yang semakin meluas di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil
Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, Tunku berpendapat penubuhan Malaysia akan dapat menyekat pengaruh komunis daripada merebak di Singapura.[1]
MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK, BRUNEI DAN SINGAPURA
Menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih lagi berada di bawah penjajahan British semasa cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri naungan.
Dalam perancangan penubuhan Persekutuan Malaysia , Malaysia akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Tetapi jika Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan secara berasingan, besar kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun sebaliknya. Jadi, dengan menyertai Malaysia , Kemerdekaan Sabah dan Sarawak boleh disegerakan.
Dalam tahun-tahun 1960-an, kerajaan British sebenarnya sedang dalam pertimbangan untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Namun Sabah dan Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk merdeka apatah lagi untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya yang kurang memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat kerajaan British tidak bercadang untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak walaupun dalam masa lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah ini disamping dapat mengelakkan hasrat komunis untuk membentuk tampuk pemerintahannya.
Sekiranya kemerdekaan tidak diberikan kepada wilayah tersebut, pihak British khuatir wilayah tersebut akan dipengaruhi oleh komunis dan akan menyebabkan British akan hilang kepentingan ekonomi dan sosial pada masa yang akan datang. Disamping itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh luar seperti Filipina dan Indonesia yang berminat terhadap negeri Sabah, Sarawak dan Brunei .
PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI
Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana Tanah Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya. Manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia .
MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK .
Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, nasib penduduk di wilayah ini tidak sama dengan nasib penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh bangsa asing. Sebahagian besar penduduk pula terlibat dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah tersebut digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia , Kemungkinan layanan istimewa akan diberikan kepada penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar. Malahan, kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia .
Sistem perhubungan di kedua-dua wilayah ini juga daif, infrastrukturnya masih bergantung pada sungai-sungai dan perjalanan udara. Adalah sukar untuk mewujudkan perhubungan darat secara besar-besaran. Selain itu, golongan Bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan British manakala orang-orang luar yang datang ke wilayah ini diberi perhatian. Justeru, tahap pendidikan, penguasaan ekonomi, kadar celik huruf dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan orang luar. Kaum Bumiputera yang mempunyai pendidikan tinggi sangat sedikit dan faktor ini membataskan peluang mereka untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.
MENJAGA KEPENTINGAN DAN HAK KAUM BUMIPUTERA
Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu akan menjadi golongan terbesar.
Apabila pencantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum Bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak terancam, kemasukkan Sabah dan Sarawak membolehkan kumpulan Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.
No comments:
Post a Comment